Wednesday 29 May 2013

Perbicaraan cerai taklik pelakon Noniswara 18 Jun

KUALA LUMPUR 28 Mei - Perbicaraan kes cerai taklik pelakon Noniswara terhadap suaminya yang juga ahli korporat, Datuk Rosman Ridzwan akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 18 Jun ini.
Hakim Syarie, Umamuddin Yunus menetapkan tarikh tersebut setelah membenarkan permohonan cerai secara taklik pelakon itu berikutan usaha untuk menyerahkan saman permohonan cerai secara baik kepada suaminya gagal.
Cerai taklik ialah perceraian sekiranya pihak suami atau isteri melanggar syarat-syarat dalam perjanjian yang ditandatangani semasa pernikahan.
Peguam Syarie, Datuk Amli Embong yang mewakili Noniswara berkata kepada pemberita di luar mahkamah, tarikh tersebut diputuskan di kamar hakim hari ini.
Beliau berkata, mahkamah turut mengarahkan satu penyampaian gantian dibuat terhadap Rosman untuk ditampal di pejabatnya.
''Kali ini perbicaraan akan diteruskan walaupun dia (Rosman) tidak hadir kerana sebelum ini kita sudah berusaha untuk serahkan saman di alamat terakhirnya sama ada di rumah mahupun pejabat tetapi masih gagal,'' katanya.
Menurut Amli, permohonan cerai taklik itu telah difailkan pada 9 Mei lalu mengikut Seksyen 50 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Noniswara atau nama sebenarnya Monis Wara Baharudin, 44, berkata, suaminya pernah membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantarnya setelah dia menyamar menggunakan telefon bimbit milik orang lain.
''Apabila saya guna telefon orang lain, boleh pula dia jawab walaupun sebelum ini sudah banyak kali saya SMS dia tetapi tidak dibalas,'' katanya.
Noniswara yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, memfailkan tuntutan cerai terhadap Rosman, 56, mengikut Seksyen 47 Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada Februari lalu.
Pasangan itu bernikah pada 31 Julai 2009 dan majlis resepsi perkahwinan diadakan sehari selepas itu di Hotel Berjaya Times Square di sini.
Noniswara mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.
Pada 28 September 2009, Rosman didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memukul bekas isterinya, Azura Ibrahim pada 2005.

No comments:

Post a Comment